Hidup penuh pilihan: Wanita bekerjaya vs ibu solehah

HIDUP ini penuh dengan kejutan dan misteri. Itu dinamakan perancangan Allah, yakni sebaik-baik perancang.

Kali ini penulis mahu menyentuh berkenaan tanggungjawab wanita bekerjaya di samping menjadi ibu yang solehah untuk anak-anaknya. Meskipun ia nampak mudah dan lumrah biasa, hakikatnya sukar untuk dilaksanakan.

Ramai ibu di luar sana adalah wanita berkerjaya seperti penulis. Mungkin anda adalah seorang doktor, pensyarah, jururawat, guru, arkitek, jurutera, ahli perniagaan, kerani dan sebagainya. Bekerja di luar rumah tidak salah selagi seorang ibu dan isteri itu berada di atas landasan syarak yang telah ditetapkan Islam.

Tertarik penulis dengan kata-kata Ketua Gerakan Pembangunan Ummah Muslimat Indonesia, Datuk Dr Azlina Che Abdullah pada Persidangan Wanita Muslim Antarabangsa (PERWANIS) 2016 anjuran Wanita Isma baru-baru ini.

Katanya, seorang isteri wajib berada di rumah dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu berbanding menghabiskan masa dengan urusan kerja di luar.

‘Penyakit yang merebak pada hari ini adalah para isteri lebih gemar mementingkan urusan pekerjaan mereka, berbanding tanggungjawab terhadap institusi rumah tangga’

Nah, nampak kan di situ. Betapa besarnya tugas seorang wanita dalam rumahtangga meskipun ia bekerjaya.

Hakikatnya, tugas hakiki wanita adalah sebagai isteri dan ibu. Walaupun keluar bekerja, tanggungjawab menyusukan anak, mendidik dan memberi belaian kasih sayang terhadap keluarga tidak boleh diabaikan sama sekali.

Wanita keluar rumah adalah diharuskan untuk keperluan dan hajat, asalkan tahu menjaga diri dan batas-batas pergaulan mengikut landasan syariat.

Penulis pernah terserempak dengan sekumpulan pelajar yang masih berpakaian seragam sekolah menengah sedang berbual sambil menghisap rokok di sebuah restoran pada waktu Zohor. Lebih dasyat apabila bercampur lelaki perempuan tanpa ada batasan aurat.

Apa yang dapat kita simpulkan?

Di manakah ibu atau bapa mereka pada masa itu? Siapa yang harus dipertanggungjawabkan?

Selain bapa, wanita yang bergelar ibu juga sebenarnya menggalas tanggungjawab yang besar dalam memastikan cahaya matanya menjadi insan berguna dan sempurna dari segi akhlak dan imannya. Tidak kira sama ada ibu itu memilih untuk bekerja atau menjadi suri rumah sepenuh masa.

Jika memilih untuk bekerja, ibu perlu memastikan masa yang ada digunakan sebaik mungkin dan tidak melepas tangan dalam memberi tarbiah dan perhatian terhadap zuriatnya.

Ingatlah! Dengan keizinan yang diberi oleh suami sebagai individu yang berpendidikan, wanita berkerjaya perlu bijak membahagikan masa antara kerjaya, suami dan anak-anak.

Di sinilah terletaknya cabaran bagi wanita bijak yang mengaku beriman kepada Allah SWT.

Sumber :www.ismaweb.net
Tag : Artikel, News
0 Komentar untuk "Hidup penuh pilihan: Wanita bekerjaya vs ibu solehah"

Back To Top